Pada Sabtu, 21 Januari 2012 untuk pertama kalinya 5 orang guru dan 26 orang murid Tahun 6 telah menghadiri ceramah ugama 'Cinta Rasul' yang disampaikan khas oleh seorang Imam Masjid Nabawi, Medinah Al-Munawwarah iaitu Tuan Imam Sheikh Ali Salleh Bin Mohammad Ali Jaber. Majlis ilmu ini dihadiri oleh guru dan pelajar dari tiga buah sekolah meliputi SRPKNBB, Sekolah Menengah Sayyidina Othman dan Pusat Tingkatan Enam Bukit Beruang. Rombongan SRPKNBB diketuai oleh Ketua Guru Ugama sekolah Ustaz Norazlan bersama Cikgu Amir, Cikgu Kamarul, Cikgu Mazura dan Ustazah Shahnnty. Majlis keugamaan ini mendapat sambutan dengan kehadirannya turut dibanjiri oleh penduduk setempat. Ceramah 'Cinta Rasul' adalah bagi menyemarakkan lagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wassalam.
Diantara isi kandungan ceramah ini ialah kepentingan seorang Muslim untuk mencintai Rasullallahu Sallalahu Alaihi Wassalam dengan membanyakkan shalawat ke atas Baginda Rasul SAW. Sheikh Ali Salleh Bin Mohammad Ali Jaber menyatakan kebaikan dari bershalawat seperti yang terkandung di dalam hadith sahih, "Barangsiapa bershalawat untukku sekali, maka Allah bershalawat untuknya sepuluh kali.” (H.R. Muslim dari Abu Hurairah).
Tuan Imam Sheikh Ali Salleh juga menyentuh mengenai keutamaan tanggungjawab seorang anak kepada ibu-bapa dengan melakukan kebaikan dan ketaatan kepada orang tua. Disamping itu beliau juga menyarankan para hadirin yang hadir untuk meningkatkan ibadat sebagai kewajipan umat manusia kepada Allah Subhanahu Wata'ala dalam mencari ketenangan dan keselamatan dunia dan akhirat.
Diakhir sesi ceramah ini, para jemaah yang hadir berpeluang untuk bersama-sama berdoa yang dipimpin oleh Tuan Imam Sheikh Ali Salleh. Guru dan murid lelaki SRPKNBB juga berpeluang untuk merakamkan sesi bergambar ramai dengan tuan penceramah sebagai kenang-kenangan.


0 comments:
Post a Comment